DADAH DI PUSAT HIBURAN

KOTA KINABALU: Seramai 44 individu ditahan menerusi Ops Sarang di pusat hiburan dan beberapa kampung di daerah ini dalam tempoh seminggu yang berakhir kelmarin, kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut merampas 14.69 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM2,203.50 berdasarkan harga dadah semasa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semua tangkapan ini dilakukan di tiga kampung dan dua pusat hiburan sekitar bandar raya ini.

“Daripada jumlah itu, seorang ditahan membabitkan kes bekalan dan pengedaran dadah, 10 individu ditahan kerana memiliki dadah manakala 33 individu ditahan selepas air kencing positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, siasatan lanjut mendapati 33 yang ditahan adalah warga tempatan manakala selebihnya warga asing berusia 17 hingga 59 tahun.

“Operasi dan serbuan yang dijalankan ini adalah usaha Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu dalam memantau, mengesan dan mengekang segala aktiviti penagihan serta pengedaran dadah di daerah ini.

“Begitu juga operasi di pusat hiburan bagi menyekat pengedaran dadah di premis hiburan dan dalam masa sama mengesan pembekal serta pengguna dadah,” katanya./BERITA SABAH