NAFI ANGGOTA TERBABIT INSIDEN LEPAS TEMBAKAN

BELURAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menafikan pembabitan anggotanya dalam kejadian melepaskan beberapa tembakan secara rambang di ladang KTS Plantation Sdn Bhd, di sini, Sabtu lalu.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata menurut laporan, laluan utama ke ladang berkenaan didatangi sekumpulan lelaki berumur dalam lingkungan 33 hingga 44 tahun yang menaiki dua buah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu DMAX, jam 4.32 petang.

Katanya, semua mereka termasuk seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota ESSCOM mendesak pengawal keselamatan yang bertugas di pintu utama ladang berkenaan supaya membenarkan mereka untuk tujuan memburu.

“Apabila mereka tidak dibenarkan masuk, salah seorang lelaki berbadan kurus dari kumpulan berkenaan bertindak melepaskan beberapa das tembakan secara rambang menggunakan senjata api ke udara.

“Selepas melepaskan tembakan, mereka mengutip kelongsong peluru tersebut dan terus beredar. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Difahamkan, satu laporan polis telah dibuat oleh pihak pengurusan KTS Plantation di Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran untuk tindakan selanjutnya.

Hazani berkata, pihak berkuasa kini giat mengesan semua suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan untuk mengenal pasti identiti dan jenis senjata api digunakan.

Beliau turut meminta semua pihak supaya menghubungi Pusat Operasi (PUSOP) ESSCOM ditalian 089-863181 sekiranya wujud keraguan mengenai identiti seseorang atau mahu mengesahkan identiti anggota ESSCOM yang ingin memasuki sesebuah premis, ladang dan sebagainya./BERITA SABAH