DUA ANGGOTA POLIS MENGAKU TIDAK BERSALAH MINTA RASUAH

KOTA KINABALU: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan memberi dan meminta rasuah sebagai dorongan untuk melepaskan seorang lelaki yang ditangkap kerana kesalahan memiliki dadah jenis syabu pada Ogos 2017.

Tertuduh Koperal Baharrudin Tuge, 42, menghadapi tiga pertuduhan manakala Lans Koperal Mohd Izzam Gorudin Abdullah, 33, satu pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua bertempat di Jalan Inobong Putaton, dan Maybank cawangan Donggongon, Baharrudin didakwa meminta rasuah masing-masing RM500 dan RM300, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Shafiqqurazi Alitus yang ditangkap kerana memiliki dadah jenis syabu.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, Baharrudin didakwa meminta suapan sebanyak RM1,500 daripada Cheung Lai Peng sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan keatas pekerjanya iaitu Shafiqqurazi Alitus di dihadapan pejabat The Light Residences Condominium.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua Baharuddin didakwa dibawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama manakala pertuduhan ketiga tertuduh didakwa dibawah Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sementara itu, Mohd Izzam yang turut dituduh meminta suapan sebanyak RM2,500 daripada Shafiqqurazi Alitus di Jalan Inobong, Putatan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan selepas ditahan atas kesalahan dadah.

Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin RM10,000 kepada kedua-dua tertuduh yang mana Baharrudin perlu membayar deposit RM5,000 dan deposit RM3, 000 bagi Mohd Izzam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Michael Joimin, manakala tertuduh diwakili oleh Peguam Mohd Azhier Arisin dan sebutan semula kes pada 8 September depan.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *