NAJIB DIDAPATI BERSALAH SEMUA TUJUH PERTUDUHAN

KOTA KINABALU: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membaca keputusan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut laporan Malaysiakini, dalam keputusan beliau, Mohd Nazlan berkata pihak pembelaan gagal mewujudkan keraguan yang munasabah ke atas kes yang dibawa pasukan pendakwaan.

Disebabkan itu, kata hakim, pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes ke atas Najib melebihi keraguan yang munasabah.

Najib sebelum ini berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC.

Beliau didakwa mendapatkan suapan RM42 juta apabila terbabit dalam keputusan bagi pihak kerajaan, dalam memberikan jaminan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kepada SRC International.

Dia turut didakwa menerima RM42 juta hasil aktiviti haram yang didepositkan ke dalam akaun peribadinya.

Sabit kesalahan, Najib boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *