Dua lelaki dikhuatiri lemas ekoran bot dinaiki karam

Gambar Hiasan

KUDAT, 4 Mac – Dua lelaki dikhuatiri lemas ekoran bot yang dinaiki dipercayai karam di perairan laut Perapat Tugu Mamal, petang semalam.

Dua mangsa yang hilang dikenali sebagai Aewaeinder berusia 20 tahun dan Macklin berusia 28 tahun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.04 petang.

“Pemanggil tersebut menyatakan terdapat sebuah bot karam ketika melakukan aktiviti memukat di laut dan turut memaklumkan dua mangsa dikhuatiri lemas.

“Enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat diarah untuk ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan kaedah pencarian di permukaan air (Surface Rescue).

“Sehingga pukul 11 malam tadi, mangsa masih belum ditemui,” katanya dakam kenyataan media, hari ini.

Katanya, operasi SAR ditangguh dan akan disambung hari ini.

Operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan penduduk kampung.