Seorang kanak-kanak warganegara Indonesia ditemukan rentung dalam sebuah kilang

Keadaan kilang yang terbakar

SUNGAI PETANI, 4 Mac – Seorang kanak-kanak warganegara Indonesia ditemukan rentung di atas katil dengan tilam yang turut hangus dalam kebakaran kilang di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Misha Kasih berumur 11 tahun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, mayat Misha Kasih ditemukan kira-kira pukul 7.30 pagi selepas anggotanya melakukan operasi mencari dan menyelamat  (SAR) di tingkat atas premis itu.

“Kami menemui mangsa dalam keadaan rentung di atas tilam yang turut hangus,” katanya kepada pemberita.

Menurut Sayani, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat lemas terhidu asap ketika api kebakaran marak.

“Kami dapati laluan tangga untuk turun dari bilik itu juga terbakar menyebabkan mangsa tiada akses untuk keluar,” katanya lagi.

Tambahnya, berdasarkan keterangan saksi, kebakaran bermula di bahagian pentadbiran.

“Ruang tengah premis adalah ruang tempat kerja yang menempatkan peralatan serta mesin manakala ruang tingkat atas adalah penginapan,” jelasnya.

Difahamkan, pemilik kilang tersebut juga menginap di situ kerana terdapat ruang bilik berehat termasuklah bilik mangsa.