Jari kanak-kanak lelaki tersangkut lubang rim kereta berjaya dilepaskan

KOTA MARUDU, 8 Mac – Seorang budak lelaki berusia 10 tahun terpaksa menahan sakit selama dua jam apabila jari hantu kanannya tersangkut pada lubang rim kereta di rumahnya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, ahli keluarga mangsa terus bergegas membawa budak lelaki tersebut ke Hospital Kota Marudu bersama rim berkenaan untuk mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, jari hantu kanan mangsa hanya berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan dari pihak hospital pada jam 6.35 petang.

“Operasi mengeluarkan jari mangsa dilakukan tiga anggota dan pegawai di bahagian Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu.

“Anggota bomba bertugas menggunakan alat pemotong besi mengeluarkan jari mangsa yang masih terlekat pada lubang rim,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambanya, operasi dilakukan adalah dengan cara berhati-hati supaya sebarang kecederaan lebih besar pada tangan mangsa dapat dielakkan.

Operasi dijangka tamat pada jam 8.50 malam tadi dan kes diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut.