By Charlie Ranap
PENAMPANG: Jawatankuasa bagi membincangkan cadangan pindaan terhadap Ordinan Interpretasi (Definasi Anak Negeri) Bab 64 kini sedang dalam proses pembentukan.
Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal-Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang (gambar) berkata penubuhan jawatankuasa tersebut berdasarkan cadangan yang dibuat dalam forum sempena Hari Orang Asal Sedunia 2019 peringkat negeri baru-baru ini.
Perbincangan kini sedang berlangsung diantara setiausaha tetap kementerian dengan rakannya di sebuah lagi kementerian berkenaan proses penubuhan jawatankuasa itu, katanya.
Jannie yang ditemui semasa menghadiri sambutan Hari Raya AidilAdha peringkat Ibu Pejabat Polis Penampang hari ini berkata selain agensi kerajaan yang berkenaan, jawatankuasa tersebut akan turut melibatkan pihak berkepentingan sepertimana yang dicadangkan dalam forum tersebut.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Kapayan itu sebelum ini satu kajian kemudian cadangan untuk meminda interpretasi anak negeri pernah dikemukakan namun kerajaan negeri baharu ingin melihat sekiranya ianya masih relevan sekarang memandangkan ianya dibuat 10 tahun lalu.
“Masalahnya, interpretasi dan definasi anak negeri (dalam undang-undang sekarang) terlalu general dan ramai mengatakan tentang perlunya dibuat satu senarai anak negeri Sabah.
“Tetapi kami di kementerian belum lagi dapat peluang untuk melihat perkara ini dalam masa satu tahun kerajaan baharu ditubuhkan.
“Ini disebabkan kesibukan dalam hal-hal berkaitan pelantikan ketua-ketua adat, pengesahan pelantikan ketua-ketua anak negeri dan juga memberi latihan kepada ketua-ketua adat ini,” katanya.
Jannie menambah semua cadangan yang dibuat dalam forum Hari Orang Asal baru-baru ini telah dikemukakan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Madius bersama Ketua Menteri semasa perasmian Hari Orang Asal Sedunia di Penampang Sabtu lalu
Madius dalam ucapan alu-aluan sempena perasmian Hari Orang Asal Sedunia peringkat negeri yang disempurnakan oleh Mohd Shafie berkata isu definasi anak negeri merupakan topik paling hangat dalam forum yang diadakan sebelum majlis perasmian itu Sabtu lalu.
“Pada ketika ini definasi anak negeri tidak konsisten,” ujarnya.
Madius berkata kebimbangan tentang kehadiran pendatang tanpa izin di Sabah yang boleh mendapatkan dokumen kerakyatan dengan mudah melalui pintu belakang dan seterusnya melayakkan mereka sebagai anak negeri turut dibincangkan dengan panjang lebar semasa forum tersebut.

More Stories
20 Gurulatih Bingkasan sertai Hiking di Bukit Kopungit
65 Karya Dipamerkan di Pameran Kaligrafi GAH-UMS
Galeri Azman Hashim UMS Bantu Martabat Karya Seni Tempatan