JKDM RAMPAS DADAH BERNILAI RM2.08 JUTA

SANDAKAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas dadah bernilai RM2.08 juta seberat 50 kilogram dan menahan empat lelaki.

Keempat-empat suspek yang menaiki pesawat komersil dari Kuala Lumpur ke Sandakan, 23 Jun lalu ditahan di unit pemeriksaan penumpang Lapangan Terbang Sandakan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar, berkata mereka yang berusia antara 19 hingga 23 tahun ditahan selepas berada dalam keadaan mencurigakan.

“Selepas pemeriksaan ke atas bagasi mereka, kita mendapati ia berisi dadah jenis Methamphetamine.

“Mereka kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengesan rekod pergerakan mereka sebelum ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Abdullah berkata, JKDM Sabah turut menahan empat individu pada hari yang sama dan merampas tiga kilogram dadah bernilai RM150,000 di Kargo MAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Katanya, suspek termasuk seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun menggunakan modus operandi dengan memanipulasi bungkusan yang diikrar sebagai tudung sebelum pemeriksaan mendapati ia berisi dadah jenis Methamphetamine.

“Tiga lagi suspek adalah warga asing termasuk dua wanita berusia antara 19 hingga 45 tahun,” katanya.

Abdullah berkata, tangkapan kes dadah itu dibuat menerusi Ops Ice Break II 2020 yang dilaksanakan bermula 22 Jun hingga 5 Julai lalu.

Katanya, ia diadakan serentak di pintu masuk negara, pusat pengumpulan mel dan kurier, gudang kargo udara dan pintu sempadan darat negara bagi memutuskan rangkaian pengedaran dadah berbahaya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdullah berkata, sepanjang tahun ini, JKDM Sabah berjaya merampas dadah bernilai RM3.5 juta membabitkan 17 kes.

“Kita juga berjaya merekodkan tangkapan kes rokok bernilai RM5.3 juta dan RM3.4 juta bagi minuman keras.

“Kita berharap orang ramai agar terus membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan penyeludupan dadah, rokok, minuman keras, mercun atau lain-lain barang yang belum lulus kastam dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *