KUMPULAN PENYAMUN ‘GENG BEN’ TUMPAS

SANDAKAN: Polis menumpaskan geng samun yang dinamakan Geng Ben susulan penahanan lima suspek termasuk seorang wanita di daerah ini dan Lahad Datu.

Kelima-lima suspek berusia lingkungan lima suspek berusia lingkungan 26 hingga 38 tahun dengan dua daripadanya adalah warga tempatan, ditahan antara 14 hingga 18 Julai lalu.

Dengan modus operandi mensasarkan mangsa samun yang berada di kawasan sunyi, suspek dipercayai terbabit dalam dua kes di Bandar IJM dan Jalan Leila, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata pada awal Jun sehingga pertengahan bulan ini, polis berjaya menyelesaikan 41 kes jenayah dan merampas 103 unit barangan.

Katanya, turut dirampas adalah sebuah kereta curi, dua motosikal dan sebuah kereta sewa yang digunakan untuk kegiatan jenayah.

“Suspek seramai 53 orang membabitkan 25 warga tempatan dan 28 warga asing dengan 40 daripada mereka didapati positif menggunakan dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Azhar berkata, jumlah kes jenayah indeks yang direkodkan antara Januari sehingga semalam adalah 319 kes.

Katanya, ia merekodkan penurunan 22 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Pada tahun ini, kita juga berjaya menyelesaikan 52.66 peratus kes, manakala kes yang berjaya dituduh adalah 48.60 peratus,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *