TAWAU, 5 Mac – Sekumpulan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyelinap masuk ke negara ini, berjaya dipatahkan selepas dikesan masuk ke perairan Laut Sungai Melayu, Pulau Sebatik, semalam.
Semua warga asing berusia 22 hingga 61 tahun terbabit berjaya dibawa keluar dari negara ini selepas dikesan Pasukan Polis Marin (PPM).
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, sebaik dikesan, pasukan operasi terus menahan bot berkenaan yang dijuragani seorang lelaki.
“semasa melakukan pemeriksaan, kita mendapati seramai empat lelaki dan tiga wanita warganegara Indonesia.
“Juragan bot dan semua penumpang terus diberi penerangan berkaitan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 sepertimana yang ditetapkan dalam Perintah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Bot yang membawa tujuh penumpang terbabit terus diiring keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak kembali semula ke negara ini bagi mengekang penularan wabak penyakit Covid-19,” katanya.
Menurutnya, PPM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara.
Sehubungan itu, pasukan PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat menerusi aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 atau menghubungi Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat sentiasa terjaga dan terkawal.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK