LIGA SUPER BERSAMBUNG SEMULA 26 OGOS

KOTA KINABALU: Saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 yang tertangguh sejak Mac lalu akibat penularan wabak Covid-19, akan disambung semula pada 26 Ogos ini dengan beberapa aksi tertunda akan berlangsung 22 Ogos ini.

Menurut laporan Bernama, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mengesahkan perkara itu dengan perlawanan tertunda itu membabitkan aksi Liga Super iaitu perlawanan antara PJ City FC menentang Terengganu FC serta aksi Liga Premier antara UKM FC dan Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata badan pentadbir liga bola sepak tempatan itu percaya tarikh baharu saingan Liga-M tersebut adalah terbaik buat kesemua pasukan selepas sesi latihan Fasa Dua dibenarkan kerajaan bermula 15 Julai lalu.

Dalam pada itu, MFL kekal dengan format pertandingan baharu iaitu liga dijalankan secara separuh liga dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti telah ditetapkan.

Kempen Piala Malaysia yang dijadual bermula 17 Okt, turut dirombak dengan tiada saingan peringkat kumpulan, sebaliknya saingan 16 pasukan berlangsung secara kalah mati satu pusingan.

Sebelas pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier (kecuali pasukan feeder) yang layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah.

Setakat empat aksi, skuad Tambadau Sabah kini berada di kedudukan keempat Liga Super dengan lima mata hasil daripada satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *