LIMA REMAJA DISYAKI ROGOL GADIS HINGGA HAMIL

KOTA KINABALU: Polis menahan lima remaja lelaki yang dipercayai merogol seorang gadis berusia 14 tahun sehingga hamil, tahun lalu.

Suspek berusia 17 hingga 20 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan sekitar Manggatal, selepas bapa kepada mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Manggatal, Jumaat lalu.

Difahamkan, kejadian pertama pada November lalu apabila seorang suspek yang juga kekasih mangsa menemui gadis itu sebelum membawanya ke sebuah rumah di Taman Bukit Setia, Sepanggar lalu merogol mangsa bersama empat rakannya.

Selepas itu, kejadian kedua pada 25 Disember apabila sekali lagi mangsa dirogol oleh kekasihnya bersama dua lagi suspek.

Selepas kejadian itu, mangsa tidak memaklumkan kepada sesiapa dan dia menyedari dirinya mengandung selepas tidak datang haid.

Bapa mangsa yang mengetahui anaknya itu hamil sembilan minggu kemudian membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

“Berikutan itu, sepasukan polis menjalankan siasatan dan menahan lima lelaki disyaki terbabit merogol mangsa di sekitar Manggatal.

“Dua lagi suspek yang masih bebas sedang dikesan dan soal siasat sedang dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan iaitu merogol secara berkumpulan.