KOTA KINABALU: Penganjuran Unduk Ngadau Kaamatan Online UPKO 2020 adalah satu peluang untuk mendidik masyarakat tentang nilai-nilai murni sumber makanan yang dizahirkan daripada Legenda Huminodun.
Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata parti itu sangat prihatin dengan pandangan-pandangan yang telah disuarakan termasuk supaya pertandingan itu tidak diadakan walaupun secara online.
“Saudara saudari sekalian, UPKO sedar dengan pelbagai pandangan tentang penganjuran Unduk Ngadau kerana hanya secara online pada tahun ini. Malah, ada petisyen supaya acara ini tidak dilancarkan walaupun online.
“Ada yang mengatakan elok dana yang dibelanjakan didermakan sahaja kepada yang kurang mampu dan sebagainya. UPKO sangat prihatin dengan pandangan-pandangan ini dan telah memastikan bahawa dana dan sumbangan beras sudah disalurkan kepada komuniti masyarakat yang memerlukannya.
“Namun bagi UPKO, penganjuran Unduk Ngadau ini adalah satu peluang untuk mendidik masyarakat tentang nilai-nilai murni sumber makanan yang dizahirkan daripada Lagenda Huminodun. Dengan niat dan tujuan tersebut, UPKO telah mengadakan pertandingan Unduk Ngadau secara online,” katanya.
Beliau ketika menyampaikan amanat beliau sempena pertandingan akhir Unduk Ngadau Kaamatan Online UPKO yang disiarkan secara live menerusi Facebook Page UPKO Malaysia, sebentar tadi.
Madius berkata, walaupun penganjuran Kaamatan secara fizikal seperti sebelum ini tidak dapat diadakan pada tahun ini, namun UPKO tidak melupakan untuk sentiasa melestarikan dan meraikan pusaka khazanah nenek moyang kerana itu adalah intipati siapa diri kita.
“Saudara dan saudari sekalian, wabak Covid-19 menyebabkan Tadau Kaamatan tidak dapat disambut secara fizikal seperti tahun-tahun lepas.
“Namun UPKO membuat keputusan untuk meneruskan penganjuran sambutan Tadau Kaamatan walaupun hanya secara maya atau online kerana, sama ada kita suka atau pun tidak, inilah kebiasaan baru kita atau the new normal untuk kita semua selagi wabak Covid-19 ini belum diatasi sepenuhnya.
“Kita wajib ‘move on’, tetapi tidak melupakan untuk sentiasa melestarikan dan meraikan pusaka khazanah nenek moyang kerana itu adalah intipati siapa diri kita,” katanya.
Beliau berkata, mesej itu adalah sama seperti yang ditekankan dalam amanat semasa pelancaran UPKO yang dijenamakan semula pada 7 Jun lalu.
Katanya, hari-hari mendatang UPKO akan berlandaskan kepada kekuatan parti itu selama ini, iaitu perjuangan konsisten termasuklah komitmen untuk memperkasakan lagi tradisi dan budaya setiap warga UPKO.
“Kita akan merayakan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Wesak, Hari Deepavali, Krismas, Tadau Kaamatan, malah akan lebih menyeluruh dengan pengisian jitu; UPKO akan merayakan Sambutan Hari Orang-Orang Asal Sedunia, Human Rights Day, Earth Day, World Youth Day, World Women’s Day dan banyak lagi,” katanya.
Terdahulu, Madius berkata, berdasarkan maklum-balas daripada Rombituon Kaamatan Online UPKO yang dianjurkan pada 1 Jun lalu, sedikit sebanyak UPKO telah mencapai sasaran untuk memperingati dan merayakan Tadau Kaamatan tahun ini.
“Untuk pelancaran online pada hari ini pula, kita akan menyaksikan final atau peringkat akhir pertandingan Unduk Ngadau. Seramai 10 peserta telah disenarai-pendek daripada 38 penyertaan.
“Para juri telah bertungkus-lumus mengadili setiap penyertaan yang diterima online, dan sebentar sahaja lagi, mereka akan mengadili secara live siapakah yang akan dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Online UPKO untuk tahun ini.
“Saya ingin berkongsi bahawa kami sedar, pertandingan kali ini memang tidak sama berbanding tahun-tahun yang lalu. Justeru, selepas sahaja majlis ini, UPKO berbangga kerana kita akan ada dua Unduk Ngadau iaitu Unduk Ngadau Vivian Wong Ling yang menang tahun lalu dan masih bertakhta sebagai Unduk Ngadau tahun ini, serta siapa pun yang akan memenangi gelaran Unduk Ngadau Online UPKO nanti,” katanya lagi.
More Stories
Persembahan eksklusif Velvet pukau hadirin di Jao Tim
Dwayne ‘The Rock’ Johnson dilantik ahli Lembaga Pengarah TKO
Madonna ‘sidai’ peminat 3 jam!