MASYARAKAT DUSUN TOMPIZOS DIGESA BERI TUMPUAN TERHADAP PENDIDIKAN DAN EKONOMI

Presiden PSDTS, Profesor Madya Edwin Laimin (empat dari kiri) memotong riben sebagai simbolik merasmikan Pelancaran Suku Dusun Tompizos Sabah cawangan Kampung Wolit Tanah di Kampung Wolit Tanah, Tongod, baru-baru ini. 

TONGOD – Masyarakat etnik Dusun Tompizos di negeri ini digesa agar memberi tumpuan terhadap bidang pendidikan dan ekonomi generasi muda bagi memastikan etnik itu setaraf dengan bangsa lain. 

Presiden Persatuan Suku Dusun Tompizos Sabah (PSDTS), Profesor Madya Edwin Laimin, berkata suku Dusun Tompizos masih kurang dikenali berbanding etnik lain di Sabah dan ia menjadi cabaran kepada masyarakat etnik tersebut. 

Jelasnya, usul kerajaan termasuk membuat pindaan undang-undang ke atas status anak negeri juga dikhuatiri akan memberi cabaran terhadap etnik lain termasuk Dusun Tompizos kerana menyebabkan lebih banyak persaingan khususnya dalam bidang ekonomi. 

“Sehubungan itu, masyarakat Dusun Tompizos perlu bersatu dan bekerjasama dalam satu pasukan bermula daripada sekarang untuk memastikan generasi muda dididik dan memiliki kemahiran agar etnik ini tidak terus ketinggalan.. 

Presiden PSDTS, Profesor Madya Edwin Laimin (duduk, tengah) bergambar bersama sebahagian ahli dan komuniti masyarakat Dusun Tompizos selepas Pelancaran Suku Dusun Tompizos Sabah cawangan Kampung Wolit Tanah di Kampung Wolit Tanah, Tongod, baru-baru ini.

“Kita perlu elak anak-anak muda terbabit dalam gejala sosial termasuk dadah dan berhijrah ke luar negara untuk mencari pekerjaan, sebaliknya rebut peluang pekerjaan dan ekonomi yang ada di negeri ini dan bantu memajukan masyarakat etnik Dusun Tompizos,” katanya lagi

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Suku Dusun Tompizos Sabah cawangan Kampung Wolit Tanah di sini, baru-baru ini. 

Hadir sama, Ketua Cawangan PSDTS Kampung Wolit Tanah, Syverinus Ronnie Sidom. 

Suku Tompizos adalah antara etnik Dusun yang mendiami sekitar Keningau dan Tongod dengan anggaran kepadatan suku semasa antara 10,000 hingga 15,000 di Sabah. 

Cawangan Kampung Wolit Tanah adalah cawangan ke-22 ditubuhkan di Sabah dengan PSDTS yang disertai kira-kira 15,000 ahli berdaftar wujud sejak dua tahun lalu. 

Mengenai persatuan itu, Edwin berkata, selain untuk memelihara adat istiadat dan bahasa suku itu, ia juga memainkan peranan membantu golongan masyarakat etnik itu dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kemahiran. 

Anak muda daripada etnik Dusun Tompizos, antara etnik Dusun di Sabah memakai pakaian tradisi.

Walaupun persatuan masih baharu, katanya, beberapa cawangan sudah ditubuhkan hasil perjuangan ahli persatuan. 

“Penambahan cawangan ini membuktikan etnik Dusun Tompizos mula bergerak dari satu tahap ke tahap lebih tinggi dan ia harus dimanfaatkan demi kebaikan seluruh masyarakat kita,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *