MAUT MOTOSIKAL TERBABAS KE DALAM TALI AIR

BEAUFORT: Perjalanan seorang lelaki ke kebunnya berakhir tragedi apabila motosikal ditunggangnya terbabas lalu masuk ke tali air di Jalan Kampung Tahak, Membakut, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa Mohd Yakub Abdillah, 57, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat lemas.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki RG berseorangan dalam perjalanan dari Kampung Pimping menuju ke kebunnya di Kampung Tahak.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa gagal di kawal lalu terbabas dan masuk ke dalam tali air.

“Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat lemas di dalam tali air berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmir berkata, motosikal mangsa tidak mengalami kerosakkan dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai mangsa gagal mengawal motosikal yang tunggangnya lalu terbabas jatuh dalam tali air.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini tiada unsur-unsur khianat atau jenayah yang ditemui dalam kejadian itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *