WANITA MELECUR SELAMATKAN DIRI DARI KEBAKARAN

KENINGAU: Seorang wanita cedera ketika menyelamatkan diri selepas rumahnya di Kampung Durok, di sini, musnah terbakar, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.50 pagi itu, wanita yang dikenali sebagai Jane, 40, dikatakan mengalami kecederaan melecur di tangan ketika cuba menyelamatkan diri keluar daripada rumahnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.59 pagi menerusi talian Malaysian Emergency Response Services 999 (MERS 999).

Katanya, kebakaran membabitkan rumah dua tingkat berkeluasan 222 meter persegi yang musnah seratus peratus.

“Sebaik tiba dilokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai bomba Keningau, operasi segera dilakukan untuk mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran.

“Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Jasree Mohammad bersama 12 anggota dengan kekuatan tiga jentera dan sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Service (EMRS) serta sebuah kenderaan utiliti pelbagai guna,” katanya.

Menurutnya, terdapat seorang mangsa wanita yang cedera ringan melecur di bahagian tangan semasa menyelamat diri.

Katanya, wanita terbabit diberikan rawatan oleh pasukan EMRS dan dihantar ke Hospital Keningau oleh pihak perubatan untuk rawatan susulan.

“Pasukan bomba berjaya mengawal api kebakaran pada jam 12.30 tengah hari tadi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca dan anggaran kerugian masih dalam anggota bomba,” katanya.-http://beritsabah.com