Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan kes rasuah RM42 juta SRC International Sdn Bhd (SRC) terhadap bekas perdana menteri diberitahu, “sumbangan Arab” yang diberikan kepada Najib Razak adalah amat mustahil, susulan percanggahan dalam keterangan dikemukakan pihak pembelaan.
Pendakwa ad hoc V Sithambaram juga menyifatkan “sangat pelik” untuk Najib memulangkan sumbangan RM2.6 bilion (USD620 juta) daripada Almarhum Raja Abdullah kepada Tanore Finance Corporation pada Ogos 2013.
“Ini adalah cubaan terdesak untuk mengukuhkan kes pembelaan. Najib dalam keterangannya berkata, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho yang memintanya memberikan wang itu kepada Tanore,” katanya.
Beliau berkata, Najib telah memberi keterangan bahawa akan ada implikasi politik sekiranya wang itu kekal dalam akaun peribadinya di Ambank.
“Sumbangan Arab itu diberikan kepadanya dalam kapasiti sebagai perdana menteri dan bagi mengekalkan Malaysia sebagai negara berhaluan sederhana. Namun, Jemaah Menteri tidak tahu mengenai sumbangan itu,” katanya.
Sithambaram, yang diberi lesen khas oleh Peguam Negara untuk mengendalikan pendakwaan dalam kes itu, berkata wang berkenaan sepatutnya dimasukkan ke dalam Dana Persekutuan, yang akan lebih bermanfaat bagi Malaysia dan sesuai dengan kehendak raja terbabit.
Beliau berkata, Najib juga tidak mengucapkan terima kasih kepada raja terbabit atas sumbangan tersebut sama ada secara bertulis atau melalui pertemuan.
Selain itu, katanya, tindakan memulangkan wang sebanyak itu kepada sebuah syarikat boleh dianggap satu penghinaan.
“Saya tidak tahu apa kaitannya raja itu dengan syarikat terbabit”.
Beliau berkata, umum mengetahui siapa yang berkepentingan dalam Tanore, tetapi enggan mengulas lanjut kerana perkara itu menjadi subjek dalam perbicaraan 1MDB Najib.
Menurut pihak pembelaan, Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, telah mengatur pertemuan antara raja Arab Saudi dan Najib pada Januari 2010 melalui saluran bukan diplomatik.
Mereka mendakwa raja berkenaan telah menyatakan sokongannya kepada Najib untuk terus berkuasa supaya Malaysia tidak jatuh ke tangan ekstremis.
Sithambaram berkata, penelitian keterangan yang dikemukakan Najib menunjukkan bahawa terdapat keraguan sama ada perjumpaan dengan raja itu memang berlaku, selain sama ada baginda menjanjikan sokongan kewangan.
“Perayu (Najib) hanya menyatakan raja telah menjanjikan sokongan. Namun beliau menjelaskan telah dimaklumkan Jho Low kemudian, iaitu pada pertengahan 2010, bahawa raja itu bersetuju memberikan sokongan kewangan,” katanya.
Beliau berkata, dua (bekas) menteri – Jamil Khir Baharom dan Anifah Aman – serta utusan Malaysia ke Arab Saudi Syed Omar Al-Saggaf, yang juga menyertai rombongan Najib, memberikan keterangan bercanggah mengenai tarikh pertemuan itu.
Katanya, Najib juga cuba bergantung kepada keterangan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjadi saksi pembelaan – Nasharudin Amir, Fikri Ab Rahim dan Dzulkifli Ahmad – untuk membuktikan bahawa seseorang bernama Putera Saud telah menandatangani empat surat yang menjanjikan sumbangan.
Katanya, pendakwaan mempertikaikan tiga saksi itu hanya dapat mengesahkan bahawa ada perjumpaan dengan tiga lelaki Arab di sebuah rumah besar di Riyadh, dengan seorang daripadanya dikatakan adalah Putera Saud. Bagaimanapun, mereka tidak dapat dapat mengesahkan identiti sebenar putera itu.
Mereka juga tidak mengesahkan secara lisan atau kenyataan bertulis direkodkan SPRM bahawa surat-surat berkenaan memang dikeluarkan oleh Putera Saud.
Sithambaram berkata, keterangan Nasharudin menunjukkan bahawa Putera Saud tidak pernah mengesahkan identitinya selain menunjukkan pasport.
“Pasport itu tidak pernah disahkan dan kenyataan SPRM yang diambil bagi pihak Putera Saud tidak ditandatanganinya, sebaliknya oleh peguam bernama Koman,” katanya.
Tambahnya, hubungan antara Putera Saud dan raja terbabit juga tidak pernah disahkan.
Pada Julai tahun lalu, hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta setelah didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah berkaitan RM42 juta milik SRC.
Najib dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan atas pinjaman RM4 bilion SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
Beliau didakwa masing-masing atas tiga tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta milik SRC, iaitu bekas unit 1MDB.
Perbicaraan bersambung.

More Stories
Memandu berbahaya hingga menyebabkan kematian, pemandu lori dipenjara lima tahun, denda RM20,000
Muhyiddin dijangka didakwa esok
Mahkamah tolak permohonan Zahid pasport dikembalikan secara kekal