NAJIB DIJATUHKAN HUKUMAN PENJARA BERJUMLAH 72 TAHUN, DENDA RM210 JUTA

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 72 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan membabitkan perbuatan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di ibu negara, hari ini.

Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib dipenjarakan 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah wang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bagi kesalahan pengubahan wang haram, ahli parlimen Pekan berkenaan dihukum penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan. Bagaimanapun tiada denda dikenakan bagi kesalahan berkenaan.

Sementara itu bagi sabitan kesalahan salah guna kuasa, Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Semua hukuman penjara akan berjalan serentak.

Terdahulu pagi tadi, Mohd Nazlan mendapati Najib bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International.

Dia didakwa mendapatkan suapan RM42 juta apabila terbabit dalam keputusan bagi pihak kerajaan, dalam memberikan jaminan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kepada SRC International.

Dia didakwa menerima RM42 juta hasil aktiviti haram yang didepositkan ke dalam akaun peribadinya.

Najib didakwa melakukan semua kesalahan itu di antara 17 Ogos 2011 hingga 2 Mac 2015.

Sabit kesalahan, Najib boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Mohd Nazlan mendapati Najib bersalah terhadap semua pertuduhan itu, selepas pembelaannya gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *