PALSUKAN DOKUMEN DAPATKAN TENDER, EMPAT TERMASUK DUA BERADIK DIDAKWA

KOTA KINABALU: Empat individu termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, masing-masing atas tiga tuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak ke asrama sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) pada 2016.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Tertuduh terdiri daripada Mohd Zul Azri Abd Shani, 41, Linah Adou, 43, serta dua beradik iaitu Syed Hairul Nizam Syed Abdul Hamid, 41, dan Sharifah Norhafizah Syed Abdul Hamid, 32.

Mereka didakwa menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulen untuk mendapat tender berkenaan bagi tempoh 1 April 2017 hingga 31 Mac 2019 pada 24 Nov 2016 di pejabat JPNS mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan palsu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Clementine Severinu, manakala Syed Hairul Nizam serta adiknya Sharifah Norhafizah diwakili peguam Azhier Farhan dan dua lagi terduduh tidak wakili peguam.

Hakim kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan dan tiga daripada tertuduh perlu membayar deposit sebanyak RM5,000 manakala Linah diarahkan membayar deposit sebanyak RM3,000.

Mahkamah menetapkan 18 Ogos depan untuk sebutan semula kes semua tertuduh.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *