Oleh Faizal Rahman
LAHAD DATU: Seorang pekerja sebuah ladang kelapa sawit di Cenderawasih cedera parah ditetak oleh kawan serumahnya pada awal pagi Julai 30.
Mangsa berumur 29 tahun sedang tidur di dalam bilik tidur semasa saspek mengetuk pintu bilik (mangsa) pada jam lebih kurang 3.00 pagi. Apabila mangsa membuka pintu, saspek terus menyerang mangsa dengan menggunakan sebilah parang sambil menolak mangsa sehingga mangsa terjatuh ke atas lantai, kata Ketua Polis Daerah ACP Haji Nasri Haji Mansor.
Semasa saspek menyerang, mangsa dapat memeluk saspek dan berlaku pergelutan. Pada waktu itu mangsa berjaya merampas parang daripada saspek. Akibat daripada pergelutan itu mangsa telah mengalami kecederaan calar di pipi sebelah kiri dan bahu sebelah kiri serta cedera di bahagian kepala, kata Nasri.
Selepas itu, saspek telah keluar dari bilik mangsa dan telah datang semula dengan membawa lagi satu bilah parang yang diambil di dapur rumah. Kemudian saspek terus mengejar mangsa yang pada waktu itu mangsa baru hendak keluar dari rumah dan terus melarikan diri ke rumah penyelianya, kata Nasri.
Saspek tidak dapat menetak mangsa kerana mangsa telah sampai dahulu di rumah pengurus ladang yang terletak lebih kurang 500 meter dari rumah mereka. Selepas itu mangsa telah dibawa ke klinik di Cenderawasih oleh pengurus ladang sebelum dirujuk ke Hospital Lahad Datu, tambah beliau.
Pada hari yang sama jam 1.50 petang , sepasukan polis telah menangkap saspek, berumur 25 tahun, di rumah pekerja di ladang sawit berkenaan dalam keadaan mengalami kecederaan pada telinga dan jari telunjuk sebelah kanan. Polis turut merampas dua bilah parang sebagai barang kes yang digunakan saspek semasa pergaduhan, kata Nasri.
“Punca kejadian ini berlaku kerana sebelum ini mangsa pernah menegur saspek kerana saspek tidak mahu mencuci pinggan selepas makan. Dalam sangkaan mangsa mungkin saspek berdendam kerana mangsa telah menegurnya,” katanya lagi.
Menurut Nasri, mangsa dan saspek merupakan warga Indonesia yang bekerja di ladang kelapa sawit yang sama.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK