Pemimpin Parti Warisan Sabah antara 3 ditahan

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu, termasuk pemimpin kanan Parti Warisan Sabah berkaitan siasatan penyelewengan dana hampir RM180 juta sebuah kementerian.

Lelaki bergelar Datuk itu yang juga ahli perniagaan sebelum menyertai politik itu ditahan kira-kira jam 6.40 petang tadi ketika hadir ke pejabat SPRM negeri untuk dirakamkan kenyataan.

Beliau yang juga pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Turut ditahan, seorang ahli perniagaan sebuah syarikat pembinaan berumur 52 tahun di pejabat SPRM Sabah pada jam 8.45 malam tadi.

Seorang lagi yang ditahan ialah bekas Timbalan Setiausaha Bahagian kementerian terbabit berusia 40 tahun di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 8.15 malam tadi.

Difahamkan, penahanan ketiga-tiga individu itu bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana membabitkan projek dilaksanakan di bawah sebuah kementerian Persekutuan di Sabah.

Tiga terbabit adalah antara 10 individu bergelar Datuk dan Datuk Seri diburu SPRM kerana disyaki ada kaitan dengan penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah ratusan juta ringgit untuk golongan miskin di Sabah. – BH ONLINE