Imigresen Sabah Patahkan Sindiket Pemalsuan Dokumen, Tahan Lima Individu

SANDAKAN: Jabatan Imigresen Sabah menumpaskan sindiket menjual dokumen palsu susulan penahanan lima individu termasuk seorang wanita dipercayai ejen utama kegiatan terbabit.

Kejayaan itu adalah hasil serbuan Ops Serkap di sebuah rumah setinggan di Batu 7, Kampung Pengiran Galpam, Jalan Labuk di sini, awal pagi semalam.

Dalam operasi oleh sepasukan pegawai Jabatan Imigresen Cawangan Lahad Datu dan Sandakan bermula jam 4 pagi itu, wanita berusia 52 tahun berkenaan ditahan bersama empat yang lain berusia antara 14 hingga 22 tahun, termasuk dua anak lelakinya.

Difahamkan, wanita yang menjadi suspek utama itu mendalangi sindiket berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu dan dipercayai menjadikan rumahnya sebagai pusat kutipan dokumen palsu yang siap berharga RM1,500 satu set.

Lebih 200 dokumen dipercayai palsu ditemui dalam rumah suspek merangkumi salinan pemegang dokumen Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13) dan surat permohonan permit masuk Jabatan Imigresen, tiga keping MyKad, gambar pasport, surat pengesahan kad pengenalan, surat kelulusan serta surat permohonan kad pengenalan dan borang akuan.

Sumber Jabatan Imigresen Sabah, berkata lima suspek itu yang mempunyai dokumen termasuk sebagai penduduk tetap kini direman untuk siasatan lanjut.

“Serbuan menerusi Ops Serkap dibuat susulan intipan selepas tangkapan empat beranak di Lahad Datu kerana memiliki dokumen palsu dalam operasi bersepadu bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), hujung bulan lalu.

“Siasatan ke atas empat individu yang didapati memiliki dokumen palsu itu membawa kepada penahanan lima suspek di Sandakan.

“Daripada maklumat itu, cawangan Jabatan Imigresen Lahad Datu telah bekerjasama dengan Unit Tindakan jabatan itu di Sandakan untuk melakukan intipan yang kemudian mendapati ada petunjuk positif bahawa berlaku aktiviti sindiket pemalsuan dokumen di Sandakan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. – BH ONLINE