Penyeludup buang sigup sebelum buat langkah seribu

Terkejut sebaik terserempak dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), seorang penyeludup bertindak membuang bungkusan plastik berisi rokok ke laut sebelum melarikan diri, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, kegiatan penyeludup berkenaan berjaya dikesan pasukan APMM yang sedang melakukan rondaan kira-kira 1.5 batu nautika barat Pulau Kerok.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot peronda APMM mengesan sebuah bot enjin sangkut yang kelihatan bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun katanya, bot berkenaan terus bertindak melarikan diri sebelum dilihat membuang beberapa bungkusan plastik berwarna hitam laut.

“Apabila menyedari kehadiran bot APMM, bot suspek meluncur laju ke arah kawasan muara sungai Tengah Nipah dan meloloskan diri di kawasan sungai yang cetek dan sempit.

“Hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan menemui beberapa bungkusan plastik hitam berisi rokok seludup yang dibuang suspek sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Abdul Muhaimin berkata, rokok yang dirampas sejumlah 4,400 batang rokok tidak bercukai yang cuba diseludup masuk dari negara jiran.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan hampir RM38,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

“Zon Maritim Lahad Datu akan melakukan siasatan terperinci dengan menggunakan sumber yang ada bagi mengesan dan memburu suspek yang bertanggungjawab melakukan aktiviti penyeludupan ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, kawalan di sempadan perairan negara akan terus dipertingkatkan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan jenayah di dalam Zon Maritim Malaysia.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi terus di talian 089-885727 Pusat Operasi APMM Lahad Datu atau talian MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan,” katanya. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *