PIHAK PENDAKWAAN TARIK BALIK PERTUDUHAN, MUSA BEBAS

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman atas 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Menurut laporan Bernama, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Musa daripada semua pertuduhan setelah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid memberitahu mahkamah pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan dalam kedua-dua kes (rasuah dan pengubahan wang haram) yang dihadapi Musa.

Bagi kes rasuah, Musa, 69, yang diwakili Peguam Francis Ng Aik Guan, menghadapi 30 pertuduhan, sebagai ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, telah secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah AS$50.1 juta.

Beliau juga menghadapi 16 pertuduhan wang haram iaitu secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram daripada beberapa individu.

Sementara itu, Musa dalam laporan berkenaan turut menyatakan kesyukurannya kerana diberi keadilan untuk membersihkan segala tuduhan yang dibuat ke atas dirinya berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Musa yang juga ADUN Sungai Sibuga, berkata, permohonan bagi membatalkan pendakwaan yang telah difailkan awal tahun ini, telah dibuat secara teliti dengan disokong oleh keterangan serta dokumen bukti cukup jelas dan nyata yang tidak dapat dipertikaikan.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *