POLIS MARIN LAHAD DATU RAMPAS 7,850 BUNGKUS ROKOK SELUDUP

Beberapa longgokan bungkusan berisi rokok seludup yang dirampas oleh URM Lahad Datu semalam

Oleh Faizal Rahman

LAHAD DATU : Unit Risikan Polis Marin (URM)  telah merampas sejumlah rokok yang dipercayai diseludup dari negara jiran  ketika sedang membuat tugas risik dan mencari maklumat di kawasan Kg. Desa Bajau di sini semalam.

“Sepasukan Unit Risikan Marin (URM) telah ternampak sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan berada di kawasan sekitar tersebut pada jam lebih kurang 8.30 malam,” kata Komander Pasukan Polis Marin Sabah ACP Hj Mohamad Pajeri Ali.

Apabila sepasukan Unit Risikan Marin (URM) menghampiri ke kawasan tersebut, sekumpulan lelaki itu melarikan diri ke kawasan sekitar kampung dan menghilangkan diri, kata Mohamad Pajeri.

Mereka kemudian mendapati terdapat beberapa longgokan bungkusan plastik berwarna hitam berisi pelbagai jenis rokok sebanyak 7,850 bungkus yang dipercayai tidak bercukai dengan nilai anggaran berjumlah RM16,750, kata beliau.

Menurut Mohamad Pajeri, barang-barang rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan lanjut dibawah Akta Kastam 1967.