TUARAN: Polis berjaya menahan seorang lelaki selepas menetak remaja lelaki berumur 15 tahun dan kanak-kanak tiga tahun yang juga anak rakan sekerjanya di Kampung Lubok Kiulu, Tamparuli di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata suspek berumur 66 tahun terbabit ditahan kira-kira dua jam selepas kejadian.
Katanya hasil siasatan di lokasi mendapati punca kejadian dipercayai disebabkan oleh perselisihan faham antara bapa mangsa dan juga suspek yang bersam-sama bekerja di salah sebuah syarikat pembinaan jalan.
“Kejadian berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lubok Kiulu apabila suspek datang ke rumah mangsa kira-kira jam 2.20 petang.
“Suspek yang dipercayai berdendam dengan rakan sekerjanya itu bertindak menetak dua anak rakannya masing-masing berumur 15 dan tiga tahun menggunakan senjata tajam dipercayai parang selepas bapa mangsa melarikan diri daripada suspek,” katanya.
Beliau berkata mangsa berumur 15 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian tengkuk manakala adik perempuan mangsa dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
More Stories
Memandu berbahaya hingga menyebabkan kematian, pemandu lori dipenjara lima tahun, denda RM20,000
Muhyiddin dijangka didakwa esok
Mahkamah tolak permohonan Zahid pasport dikembalikan secara kekal