SEBAR BERITA PALSU, PESARA DIDENDA

Oleh Wartawan BS
12 Februari 2020

SANDAKAN: Tindakan seorang pesara kerajaan menyebarkan mesej palsu berhubung wabak koronavirus membawa padah apabila diarahkan membayar denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Aliuudin Amit, 67, yang mengaku bersalah di hadapan Majistret, Suhaila Selag turut diperintahkan menjalani hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki terbabit didakwa menyebarkan berita palsu itu melalui aplikasi Whatsapp menggunakan telefon bimbit miliknya di Jalan Selinsing, Taman Sempelang, Kota Kinabalu, kira-kira pukul 9.34 malam, 24 Januari lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menerusi mesej yang dihantar ke kumpulan Whatsapp Persatuan Golf Tanjung Aru, tertuduh mendakwa seorang banduan telah muntah darah dan meninggal dunia dunia di Penjara Sandakan yang berpunca daripada koronavirus selepas bedah siasat dilakukan.

Tertuduh turut memberi amaran agar orang ramai tidak memakan buah limau mandarin yang didakwa tercemar dengan koronavirus dan mendakwa banduan berkenaan sebelum ini telah memakan buah limau mandarin dari Wuhan, China.

Menerusi mesej itu, tertuduh turut mendakwa semua pegawai di penjara itu telah dikuarantin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Franklin Ganggan Bennet, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon mahkamah meringankan hukuman kerana menyesali perbuatannya dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.

Franklin pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas faktor kepentingan awam dan perbuatan tertuduh menyebabkan kegusaran kepada masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *