RANAU: Malang tidak berbau, itu yamg terjadi kepada seorang lelaki yang maut selepas dipercayai tertembak dirinya sendiri dengan senapang bakakuk akibat tergelincir ketika berjalan di kebunnya di Kampung Togis, di sini, kelmarin.
Mangsa berusia lingkungan 40 tahun ditemui anak lelakinya berusia 20-an selepas dihubungi mangsa jam 8.50 malam.
Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu selepas anak mangsa membuat laporan polis jam 2.09 pagi.
“Hasil siasatan mendapati mangsa keluar ke kebun seorang diri dan pada jam 8.50 malam, mangsa menghubungi anaknya memaklumkan dia tertembak sendiri ketika berada di kebunnya.
“Mangsa ditemui dalam keadaan parah di bahagian belakang pinggang disyaki akibat tertembak dengan senjata api buatan sendiri jenis bakakuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Berikutan kejadian itu, Sammy berkata, pihaknya merampas selaras senapang bakakuk, tiga butir peluru hidup, satu butir kelongsong peluru dan beberapa barang milik mangsa di lokasi kejadian.
“Kes disiasat sebagai mati mengejut dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan, memiliki atau menyimpan senjata api buatan sendiri atau peluru tanpa lesen.
“Sesiapa yang didapati memiliki atau membawa senjata api atau peluru tanpa lesen atau permit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK