Umur minimum berkahwin patut diturunkan – Mufti Sabah

DATUK Bungsu @ Aziz Jaafar. – Foto fail NSTP

KOTA KINABALU: Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, tidak bersetuju had umur minimum perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun.

Beliau berkata, individu elok dibenarkan berkahwin awal sesuai dengan hukum syarak, malah mencadangkan had usia diturunkan kepada masing-masing 14 dan 16 bagi remaja perempuan dan lelaki.

“Apa yang penting prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan mesti melalui mahkamah dan diperketatkan SOP.

“Saya malah cadang diturunkan umur kepada 14 tahun untuk perempuan dan lelaki 16 tahun. Bawah daripada umur itu perlu dapatkan kebenaran khas mahkamah.

“Kenapa dibenarkan kahwin awal, kerana anak-anak sekarang sudah amat matang dan terdedah kepada soal seks lebih awal. Justeru, eloklah dikawal dan dibenarkan kahwin awal,” katanya menerusi WhatsApp kepada NSTP di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang menyatakan hasrat kerajaan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, dilaporkan berkata beliau telah mempengerusikan mesyuarat pada 13 September lalu untuk membincangkan isu berkenaan bersama pihak berkepentingan yang berkaitan.

Sementara itu, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Mokhtar, pula berkata kerajaan Sabah setuju dan tiada masalah untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun seperti kerajaan Pusat.

“Bagaimanapun, perlu ada sedikit kelonggaran, iaitu yang berusia bawah 18 tahun jika mahu berkahwin kena memohon kepada mahkamah (kemukakan alasan untuk berkahwin) untuk kebenaran.

“Sebenarnya, umur 16 atau 18 tahun tiada masalah untuk kahwin jika sudah mencapai usia baligh, namun perlu mendapatkan kebenaran mahkamah,” katanya. – BH Online