Warga asing tinggal lebih masa, tanpa dokumen di Labuan kena penjara

 Sembilan warga asing berumur 24 hingga 58 tahun dijatuhkan hukuman penjara empat hingga enam 6 bulan atas kesalahan tinggal lebih masa dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri di sini.

Ketua Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan Bascaco Jabat @ Mohd Dzulkarnain Abdullah berkata, kelima-lima individu didapati bersalah kerana tidak memiliki sebarang dokumen.

“Manakala empat lagi yang kesemuanya wanita didapati tinggal lebih masa di negara ini setelah pas tamat,” katanya.

Bascaco menyatakan semua pesalah telah dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman dan akan diserahkan semula kepada JIM setelah tamat menjalani hukuman.

Menurutnya, hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Kasyfurrahman Abang Ahmad dalam perbicaraan di Mahkmah Majistret WP Labuan pada Selasa manakala pendakwaan dikendalikan Mohamed Fairuz Mohamed Fajeer.

Bascaco menjelaskan, dua lelaki dan tiga wanita dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen untuk masuk dan berada di Malaysia.

Katanya, seorang lelaki dihukum penjara lima bulan dan seorang lelaki lagi dipenjara empat bulan dengan satu sebatan. Sementara tiga wanita dipenjara lima bulan atas kesalahan yang sama.

Bascaco memberitahu, empat lagi wanita masing-masing dipenjara empat hingga enam 6 bulan manakala dua lagi dipenjara lima bulan. Kesemua hukuman penjara dikira bermula dari tarikh ditangkap.

Menurut Bascaco, semua pesalah ditangkap dalam satu operasi melibatkan dua restoran di bandar Labuan dan beberapa rumah yang disyaki diduduki warga asing di sekitar Pulau Labuan 10 dan 11 April 2021 yang diketuainya sendiri. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *